Monday, July 27, 2015

SIFAT KEJI – TAKABBUR


Siapalah kita untuk bersifat takabbur, riak dan sombong dihadapan manusia sedangkan Allah SWT sedang memerhatikan tindak-tanduk kita. Selayaknya adalah Allah SWT sahaja yang bersifat sedemikian. Allah SWT telah berjanji bahawa bagi orang yang bersifat sombong neraka Jahannam lah tempatnya.

فَادْخُلُوا أَبْوَابَ جَهَنَّمَ خَالِدِينَ فِيهَا فَلَبِئْسَ مَثْوَى الْمُتَكَبِّرِين 


“Maka masukilah pintu-pintu neraka Jahanam, kamu kekal di dalamnya. Maka amat buruklah tempat orang-orang yang menyombongkan diri itu”
(QS. An-Nahl: 29)


Di antara ayat Quran yang sangat melarang kita memiliki sifat sombong ini ialah, firman Allah SWT yang bermaksud :


“Janganlah kamu berjalan dengan menyombongkan diri kerana sesungguhnya kamu sekali-kali tidak dapat menembus bumi dan ketinggianmu tidak akan melepasi gunung.” (Al Israk: 37) 

“Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong.” (An Nahl: 23) 


Biasanya perasaan ini akan timbul apabila kita berhadapan dengan orang yang lemah pada sangkaan kita. Kita lihat penampilannya yang biasa, rupanya yang biasa, pangkatnya lebih rendah maka pada masa itulah perasaan bangga diri datang dan menerbitkan kesombongan.


Perkara-perkara yang biasanya menjadi bahan kesombongan atau ketakabburan sebagaimana yang dinyatakan di dalam Kitab Ihya Ulumuddin (tulisan Imam Al-Ghazali) ada tujuh perkara, iaitu


-ilmu pengetahuan 
-amalan dan peribadatan 
-keturunan 
-keindahan dan kelebihan pada bentuk fizikal 
-harta kekayaan 
-kekuatan fizikal 
-kuasa atau pengaruh. 


Orang yang sombong juga tidak akan dapat meninggalkan perasaan dendam, memberi nasihat kepada saudara muslim yang lain secara jujur atau ikhlas dan tidak dapat melaksanakan budi pekerti yang baik. Sifat sombong atau takabbur juga sebenarnya menyebabkan seseorang itu awal-awal lagi akan disisihkan oleh Allah SWT di dunia sebagaimana firman-Nya yang bermaksud;

"Nanti Aku palingkan daripada ayat-ayatKu orang-orang yang sombong di muka bumi tanpa kebenaran." (Al-A'raf: 146)
Selain itu natijah kesombongan juga, menyebabkan pintu hati pengamalnya tertutup dari menerima hidayah dan kebaikan dari Allah sebagaimana firman Allah yang bermaksud; 

"Demikianlah Allah menutup tiap-tiap hati orang yang sombong lagi ganas (memaksa rakyat)." (Surah Al-Mukmin : 35) 
Apa yang lebih malang, pemilik sifat takabbur yang menafikan hak-hak Allah akan ditempatkan ke dalam neraka seiring dengan firman Allah yang bermaksud:

"Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan dirinya dari menyembahKu, mereka itu akan masuk neraka Jahannam dengan menderita kehinaan." (Surah Al-Mu'min: 60)

Dan ini diperkukuhkan lagi oleh hadis yang berbunyi yang bermaksud;

"Tidak akan masuk ke dalam syurga orang yang di dalam hatinya terdapat seberat biji sawi dari sifat kesombongan."

Oleh itu, takutlah kita dengan azab Allah SWT yang sememangnya amat dahsyat dan janji-janji Allah itu adalah benar. Justeru didiklah hati kita dengan meletakkan kebesaran Allah SWT yang paling teratas dan ingatlah bahawa kita sedang diperhatikan oleh-Nya!


CREDIT TO :Pusat Islam Universiti Teknikal Malaysia Melaka

No comments:

Post a Comment

DANA MENERUSKAN HIDUP